Sabtu, 21 Disember 2013

Anggota Majlis MPSJ Didakwa Salah Guna Kuasa


SHAH ALAM: Seorang anggota majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Zon 19 pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen pada 2010.

Hamdan Ismail, 50, didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan kelulusan berhubung cadangan Syarikat Alam Muhibbah Enterprise, yang dikendalikan anaknya, Yuwafee Heidi, bagi melaksanakan kerja membina bonggol premix di Jalan LEP 6 dan Jalan PP1 serta membaik pulih jalan di Taman Equine, Seri Kembangan berharga RM19,790.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat MPSJ di Subang Jaya pada Februari 2010 dan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan dokumen Minit Mesyuarat Jawatankuasa Penduduk MPSJ Zon 19 bertarikh 3 Disember 2009 yang palsu, sebagai tulendi Bahagian Khidmat Komuniti Kompleks 3C, MPSJ Subang Jaya pada 3 Disember 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim M Bakri Abd Majid membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 denganseorang penjamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Lokman Kasim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Polis Cari Lagi 12 Kotak Cip Mikro Yang Hilang

GEORGE TOWN: Sebuah lori dengan muatan 22 kotak cip mikro dilapor hilang di luar sebuah kilang elektronik di kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) di Bayan Lepas, Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Fah Hin berkata kehilangan lori itu disedari pemandunya pada pukul 9.00 malam sejurus dia keluar dari kilang berkenaan untuk mengambil dokumen.

"Lori itu baru tiba dari Ipoh dan diparkir sebentar di luar kilang kerana pemandunya mahu mengambil dokumen. Tetapi selepas dia keluar, kenderaan itu telah hilang," katanya di sini, Sabtu.

Polis kemudiannya berjaya mengesan lori yang dilengkapi sistem penentu kedudukan global (GPS) itu pada pukul 11.30 malam tidak jauh dari lokasi kejadian serta menahan seorang lelaki berusia 40-an.

Namun Lai berkata hanya 10 kotak cip mikro yang ditemui manakala 12 kotak lagi yang kandungannya dianggar bernilai RM800,000 telah lesap.

Katanya polis sedang mengesan suspek utama rompakan itu dan sebahagian besar cip yang dipercayai telah dibawa keluar dengan menggunakan kenderaan lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Dua lelaki samun kedai diburu Polis



KEMAMAN – Dua lelaki bersenjatakan sebilah parang yang menyamun sebuah kedai RM2 di Jalan Kuantan–Kuala Terengganu di Kerteh, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam semalam, kini sedang diburu polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, wajah kedua-dua lelaki itu berjaya dirakam CCTV di dalam kedai terbabit.

Katanya, seorang daripada lelaki terbabit memakai topi keledar.

“Semasa kejadian, terdapat dua jurujual perempuan dalam kedai itu sebelum suspek masuk lalu mengugut mereka dan melarikan tunai kira-kira RM1,000.

“Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal," katanya.

Katanya, pihaknya kini giat mengesan dua lelaki terbabit dan orang awam yang mempunyai maklumat diharap  tampil untuk membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Che Suza berkata, suspek yang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Jakar tiga hari lalu, berjaya dicekup kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

“Suspek yang berusia 28 tahun berjaya ditangkap berhampiran kedai serbaneka 24 jam berkenaan. Polis juga berjaya merampas semula barang dilarikan dari kedai tersebut iaitu dua kotak rokok dan satu cerut.

“Turut dirampas, sebilah pisau jenama Berent dan Proton Wira Aeroback berwarna hijau kepunyaan suspek,” katanya.

Menurutnya, hasil saringan air kencing, suspek yang beralamat di Kampung Cina, Kuala Kemaman didapati positif dadah jenis Eramin 5.
--Sinar

Ahad, 8 Disember 2013

Buruh Warga Indonesia Maut Dalam Pergaduhan Di Kalabakan

TAWAU: Seorang buruh warga Indonesia meninggal dunia selepas terbabit dalam satu pergaduhan di sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata Jodi Seo, 30, mati akibat lima kesan tikaman di bahagian dada, tangan dan belakang badan dalam kejadian kira-kira 7 malam Jumaat lepas.
(Gambar Sekadar Hiasan)
Kejadian berlaku ketika Jodi bersama seorang rakannya sedang dalam perjalanan balik dengan menunggang motosikal selepas mengambil gaji mereka di pejabat ladang tersebut.

Setibanya di lokasi kejadian, mereka tiba-tiba diserang sekumpulan kira-kira 10 hingga 15 lelaki yang membaling batu ke arah mereka, kata Awang Besar dalam satu kenyataan, Ahad.

"Jodi yang menunggang motosikal terbabit terus terjatuh sebelum dibelasah dan ditikam oleh kumpulan berkenaan manakala rakannya yang membonceng motosikal itu sempat terjun untuk menyelamatkan diri," katanya.

Awang Besar berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada penyelia ladang berkenaan kira-kira pukul 9.45 malam dan terus bergegas ke lokasi.

"Bagaimanapun mayat Jodi sudah dibawa balik ke rumah kongsi oleh ahli keluarganya," katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mencari punca sebenar pergaduhan, kata Awang Besar.

Sementara itu, beliau berkata polis telah menahan tiga individu berusia lingkungan 23 hingga 39 tahun bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Jumaat, 6 Disember 2013

Polis rampas pistol tiruan

GUA MUSANG - Polis menemui sepucuk pistol tiruan seakan pistol sebenar yang disimpan dalam sebuah rumah ketika serbuan di Kampung Batu Papan Luar, Jalan Pulai, dekat sini, malam Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, serbuan kira-kira jam 11 malam itu selepas pihaknya menerima maklumat berhubung ada sebuah rumah menyimpan senjata api tanpa lesen.

Katanya, semasa serbuan, rumah itu ada dua orang penghuni dan pemeriksaan dilakukan ke atas badan dua lelaki terbabit tidak menemui sebarang senjata sebelum menggeladah keseluruhan dalam rumah berkenaan.

“Sepasukan anggota polis yang melakukan penggeledahan itu akhirnya menemui sebuah kotak hitam mengandungi pistol tiruan bertulis Colt`S berwarna gelap bersama satu magazin diletakan di tepi katil tidur dalam ruang tamu rumah terbabit.

“Ketika siasatan dijalankan, seorang daripada dua lelaki dalam rumah itu berumur 55  membuat pengakuan pistol berkenaan miliknya sebelum suspek dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Saiful Bahri berkata, hasil siasatan, suspek mengaku pistol tiruan itu dibeli dari negara jiran ketika berkunjung ke Sungai Golok, Selatan Thailand tiga bulan lalu dan disimpan di rumahnya untuk digunakan  menembak cicak.

Beliau berkata, pistol itu menggunakan manik plastik bulat berwarna putih sebagai peluru dan suspek terbabit yang masih ditahan untuk siasatan.

Katanya, suspek  di siasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pasangan Khalwat Dalam Kereta Di Hentian R&R dI Cekup


GEORGTOWN - Tindakan sepasang kekasih bercumbu sambil tubuh wanita berada di atas badan teman lelakinya di tempat duduk penumpang membawa padah apabila mereka dicekup kerana disyaki berkelakukan kurang sopan di kawasan hentian Rawat dan Rehat (R&R) Bagan Ajam, di sini, malam kelmarin.
Pemeriksaan itu dijalankan jam 11.30 malam oleh sepasukan 17 pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP Khairul Azman Azizan sambil dibantu lima anggota Cawangan Penyiasatan Ketenteraan (CPK).
Khairul Azman berkata, ketika rondaan dilakukan sebuah kereta dikesan berhenti di tepi jalan berhampiran pantai di kawasan itu sebelum pemantauan dan pemeriksaan dijalankan.
Menurutnya, ketika merapati kenderaan itu didapati seorang lelaki ditemui terbaring di tempat duduk penumpang bahagian hadapan manakala seorang wanita yang dipercayai teman wanitanya berada di atasnya dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, apabila diperiksa dan ditahan, kedua-dua mereka yang berusia 20-an itu menafikan melakukan perbuatan tidak senonoh. namun selepas disoal siasat mereka mengaku bercumbu.
“Mereka diberikan notis menghadirkan diri di Pejabat Agama Daerah Butterworth.
“Turut ditahan dua lagi pasangan di kawasan itu yang dikesan berpelukan dalam keadaan mencurigakan,” katanya.
Khairul Azman berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkelakuan kurang sopan di tempat awam dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali, menurut sumber Harian metro.

Rabu, 4 Disember 2013

Polis tahan empat warga asing cuba edar dadah

JOHOR BAHRU - Polis memberkas empat warga asing termasuk dua wanita yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di hadapan sebuah hotel di Jalan Kebun Teh, di sini dua hari lepas.
 
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dua suspek lelaki warga Nigeria dan wanita Vietnam serta Indonesia terbabit ditahan pada pukul 7.15 pagi.
 
"Polis merampas sekilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM500,000 daripada suspek," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
 
Menurut Mohd Mokhtar, siasatan awal mendapati dua lelaki Nigeria berkenaan terbabit pengedaran dadah di ibu negara dan dipercayai cuba meluaskan pasaran di luar Lembah Klang.
 
Seorang suspek lelaki dan wanita Vietnam itu mendakwa mereka pelajar kolej swasta di Ampang, Selangor, manakala seorang lagi suspek lelaki mendakwa bekerja sebagai jurujual alat ganti kenderaan di Pelabuhan Klang sementara wanita Indonesia terbabit tidak bekerja, katanya.

Kesemua suspek yang berusia antara 22 dan 27 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah di negara ini dan ditahan reman sehingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.
 
Menurut Mohd Mokhtar dua daripada suspek juga disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
 
Mengulas kes lain, Mohd Mokhtar berkata, polis menahan seorang lelaki kerana memiliki senjata api di kawasan Taman Setia Indah di sini pada 18 Nov lepas.
 
Lelaki berumur 38 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.40 malam dan pemeriksaan polis menemukan sepucuk pistol jenis Glock 26 dan dua kelopak peluru berisi 19 butir peluru pada suspek.
 
"Lelaki itu mempunyai rekod lampau kerana mencuri di bandar raya ini pada tahun 2008. Dia disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya. - Bernama

Diserbu ketika lepak di rumah

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang sedang santai melepak di luar rumahnya melarikan diri seperti lipas kudung sejurus melihat  kehadiran polis, sekali gus membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah termasuk syabu dan heroin di sebuah rumah di Kampung Kolam Mengabang Telipot, di sini, Ahad lalu.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah seperti syabu seberat 155 gram, Yaba (33.1 gram), heroin (40 gram) dan pil domi (4.6 gram) selain turut menyita sebuah motosikal Yamaha RXZ yang dianggarkan bernilai RM4,000 dan wang tunai RM1,200 yang dipercayai hasil jualan dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bersama Balai Polis Gong Badak dan Balai Polis Batu Rakit kira-kira jam 1.15 pagi hasil risikan dan maklumat awam.

Beliau berkata, sebaik tiba di rumah berkenaan, terdapat seorang lelaki sedang berehat di hadapan rumah sebelum suspek segera melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis bagi mengelak dicekup.

“Namun, hasil kecekapan polis, suspek berusia 37 tahun dan masih bujang itu berjaya dicekup sebelum pemeriksaan menemui tiga botol heroin di dalam poket seluarnya.

“Selain itu, polis turut menemui dua beg di kawasan semak berhampiran lokasi suspek ditahan sebelum pemeriksaan menemui dadah jenis syabu, yaba dan pil domi.

“Malah, pemeriksaan lanjut terhadap sebuah Proton Perdana yang ada di luar rumah turut menemui satu botol dadah jenis heroin” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zamri berkata, suspek bersama barang kes yang dirampas dibawa ke IPD Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

Katanya, suspek kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
--Sinar Harian

Dipenjara akibat curi TV masjid

AYER KEROH - Dua sahabat dihukum penjara satu bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini kerana mencuri televisyen di dalam masjid bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Al Amin Jafary, 20, dan Mohd Fahmi Fadzil Rose Afandi, 19, dijatuhi hukuman tersebut selepas kedua-duanya mengaku bersalah di depan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Tertuduh didakwa mencuri sebuah televisyen jenama LG bernilai RM2,000 kepunyaan Masjid As Syuhada, Kem Terendak dari jam 9 malam pada 19 November hingga 5 pagi, 20 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga imam masjid berkenaan meninggalkan rumah ibadat itu dalam keadaan baik kira-kira jam 9 malam.

Namun, ketika tiba ke masjid kira-kira jam 5 pagi keesokan harinya, pengadu mendapati televisyen LCD yang digantung di belakang saf perempuan hilang, lalu membuat laporan di Balai Polis Sungai Udang.

Pada 20 November 2013, pihak polis yang menerima maklumat telah pergi ke sebuah rumah di Taman Terendak Permai dan menahan kedua-dua tertuduh, sebelum pengadu membuat pengecaman televisyen berkenaan melalui nombor siri.

Terdahulu, Muhammad Al Amin merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan kerana mahu menyambung pelajaran di sebuah kolej komuniti, sementara Mohd Fahmi perlu menanggung adiknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak meminta mahkamah memberikan hukuman literan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam yang lain supaya tidak melakukan jenayah sama.

“Hukuman bersesuaian wajar diberikan terhadap tertuduh yang melakukan jenayah tersebut di dalam masjid yang menjadi tempat ibadah Muslim,” katanya.

Selepas meneliti fakta kes, rayuan kedua-dua tertuduh dan hujah pihak pendakwaan, Mohd Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu bulan dan denda RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda bagi kedua-dua tertuduh.
-Sharian

Tujuh bersaudara ditahan

KOTA BHARU - Kegiatan tujuh bersaudara yang dipercayai menjadikan urusan jual beli dadah sebagai perniagaan keluarga, lumpuh apabila ditahan polis dalam Ops Cantas Khas Narkotik di sini, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Superintendan Amran Ramli berkata, serbuan itu dijalankan anggota JSJN, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) ke atas sebuah rumah di Kampung Pulau Panjang, Pengkalan Chepa pada jam 10.10 pagi.

Katanya, dalam serbuan itu, sindiket terbesar yang dianggotai tiga beradik lelaki, bapa, menantu perempuan serta dua saudara masing-masing lelaki dan perempuan berusia antara 16 dan 64 tahun, ditahan.

“Hasil maklumat dan risikan, anggota serbuan menjumpai 10 bungkusan kertas mengandungi 62,400 pil kuda bernilai RM1.56 juta yang disorokkan di bawah kayu, bawah rumah papan tersebut.

“Selepas pemeriksaan lanjut, polis juga menemui RM16,849 wang tunai bercampur-campur dipercayai hasil jualan dadah yang disembunyikan di dalam sarung bantal di sebuah bilik salah seorang dari mereka,” katanya pada sidang media di IPK di sini, semalam.

Menurutnya, semua suspek itu mempunyai pertalian saudara yang aktif menjalankan kegiatan itu secara berkumpulan sejak tiga bulan lalu.

“Semua mereka berpakat menjalankan kegiatan ini dengan seorang mereka menjadi stokis, kedua pengedar dan selebihnya mencari pelanggan.

“Walau bagaimanapun, ketujuh-tujuh yang ditahan ini negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Seorang daripada mereka bekerja di sebuah restoran makanan segera, tiga buruh, seorang pengawal keselamatan dan duanya tiada pekerjaan,” katanya.

Selain dadah dan wang tunai, polis turut menyita dua kereta jenis Perodua Kancil dan Perodua MyVi bersama empat motosikal milik mereka.

“Bekalan dadah ini dipercayai baru sahaja tiba ke tangan suspek dan bertujuan untuk dipasarkan ke Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Kesemua mereka direman tujuh hari berkuat kuasa 3 Disember lalu.

Dalam pada itu, Amran berkata, jumlah sitaan harta milik pengedar dadah di negeri ini mencecah RM4.4 juta setakat ini berbanding 1.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
--Sinar

Polis Tumpaskan Kumpulan Curi Susu Bayi Di Pasar Raya


GUA MUSANG: Polis menumpaskan kumpulan mencuri susu bayi berjenama di beberapa pasar raya di negeri ini selepas menahan lima orang termasuk tiga wanita tengah malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata mereka ditahan di KM12 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis selepas cuba melarikan diri daripada sekatan polis di Kem Semor di sini.

"Kereta yang dinaiki mereka didapati sarat dengan 84 tin dan 29 kotak susu bayi berjenama. Mereka yang berumur antara 23 dan 43 tahun berasal dari Sabah dan dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Kuala Lumpur.

"Mereka dipercayai ke Kuala Lumpur untuk menjual susu bayi itu yang dicuri dari beberapa pasar raya sekitar Kota Baharu sebelum ini. Kesemua susu itu dianggarkan bernilai RM10,000," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di sini, Rabu.

Beliau berkata ketika soal siasat, kesemua suspek mengakui mereka menjalankan kegiatan itu hanya dalam masa sehari sahaja untuk mengumpulkan kesemua susu bayi berjenama itu.

Saiful Bahri berkata tugas mencuri susu bayi itu dilakukan seorang daripada tiga wanita itu dengan memakai baju kurung bersaiz besar bagi memudah menyorok tin susu di bawah kelangkang.

Siasatan lanjut mendapati mereka pernah ditahan kerana kesalahan sama di beberapa negeri lain sebelum ini. - BERNAMA

Polis tahan empat warga asing cuba edar dadah


JOHOR BAHRU - Polis memberkas empat warga asing termasuk dua wanita yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di hadapan sebuah hotel di Jalan Kebun Teh, di sini dua hari lepas.
 
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dua suspek lelaki warga Nigeria dan wanita Vietnam serta Indonesia terbabit ditahan pada pukul 7.15 pagi.
 
"Polis merampas sekilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM500,000 daripada suspek," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
 
Menurut Mohd Mokhtar, siasatan awal mendapati dua lelaki Nigeria berkenaan terbabit pengedaran dadah di ibu negara dan dipercayai cuba meluaskan pasaran di luar Lembah Klang.
 
Seorang suspek lelaki dan wanita Vietnam itu mendakwa mereka pelajar kolej swasta di Ampang, Selangor, manakala seorang lagi suspek lelaki mendakwa bekerja sebagai jurujual alat ganti kenderaan di Pelabuhan Klang sementara wanita Indonesia terbabit tidak bekerja, katanya.

Kesemua suspek yang berusia antara 22 dan 27 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah di negara ini dan ditahan reman sehingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.
 
Menurut Mohd Mokhtar dua daripada suspek juga disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
 
Mengulas kes lain, Mohd Mokhtar berkata, polis menahan seorang lelaki kerana memiliki senjata api di kawasan Taman Setia Indah di sini pada 18 Nov lepas.
   
Lelaki berumur 38 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.40 malam dan pemeriksaan polis menemukan sepucuk pistol jenis Glock 26 dan dua kelopak peluru berisi 19 butir peluru pada suspek.
 
"Lelaki itu mempunyai rekod lampau kerana mencuri di bandar raya ini pada tahun 2008. Dia disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya. - Bernama

Rogol – mekanik mengaku tidak salah


KOTA BHARU – Seorang mekanik mengaku tidak salah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol seorang remaja 16 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Krai, bulan lalu.
Roslan Hamzah, 41, yang beralamat dari Jerantut, Pahang, didakwa merogol mangsa di sebuah rumah tanpa nombor di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Embak, Kuala Krai, antara jam 12 tengah hari dan 3 petang, 15 November.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Namun, susulan daripada penafian tertuduh, Hakim, Mohd Yusoff Yunus menangguhkan kes untuk laporan perubatan mangsa pada 5 Januari depan.
Sementara menunggu tarikh itu, tertuduh tidak ditawarkan jamin berikutan tuduhan serius yang dihadapinya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin. Tertuduh ditahan pihak berkuasa, dua hari selepas kejadian, menurut sumber Sinar Harian.

3 lelaki curi kabel kena cekup


SITIAWAN - Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Kampung Acheh berjaya menumpaskan kegiatan curi kabel di sekitar Manjung dengan tertangkapnya tiga suspek dalam operasi Ops Cantas Khas di pesisir pantai Perak, di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Kampung Acheh, Deputi Superintendan Shaari Ariffin berkata, tiga lelaki berkenaan berusia antara 35 hingga 50 tahun ditangkap ketika memunggah kabel elektrik dipercayai dicuri ke dalam sebuah van di kawasan Lumut Kiri.

"Siasatan terhadap suspek juga membongkar satu lagi jenayah mencuri sampan dan enjin sangkut dengan penemuan barang curi itu yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya pada sidang media, semalam.

Sementara itu menurutnya, sehingga kini sebanyak RM36,000 nilai rampasan dicatatkan sepanjang Ops Cantas Khas di kawasan persisiran pantai Perak bermula 16 Oktober lalu.

“Rampasan ini melibatkan kes yang menyalahi Akta Perikanan 1985 iaitu nelayan memukat di kawasan larangan dan tangkapan awak-awak asing yang tiada permit sah.

“Dalam Ops Cantas Khas ini, lima awak-awak warga Myanmar yang dikesan tiada permit sah dan melanggar peraturan dengan bekerja di bot nelayan kelas A dan B berjaya ditahan” katanya.

Shaari berkata, Ops Cantas itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan pesisir pantai Perak sentiasa berkeadaan baik dan selamat.

“Kita juga mengalu-alukan maklumat orang awam berkenaan apa-apa sahaja kejadian jenayah di kawasan mereka, terutama pesisir pantai supaya tindakan lanjut dapat diambil," katanya
--Sharian

Padah curi tabung masjid



Kuala Lumpur – Seorang remaja lelaki maut akibat dipukul empat lelaki yang berjaya mencekupnya ketika sedang mencuri wang tabung di sebuah masjid di Pandan Indah, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun dikatakan cuba melawan untuk melepaskan diri, namun berjaya ditangkap.
Hasil soal siasat dilakukan penduduk, mangsa mengaku cuba mencuri wang menggunakan dawai sebelum dipukul sehingga setengah mati.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, sejurus menerima maklumat berhubung kejadian 10 minit kemudian, sepasukan anggota unit peronda polis (MPV) dikejarkan ke lokasi dan menahan mangsa selain turut merampas dawai yang dipercayai digunakan untuk mencuri.
“Sebaik tiba, polis mendapati mangsa sudah tidak berdaya dipercayai dipukul.
Pemeriksaan lanjut oleh pasukan forensik yang tiba telah menemui sebatang kayu dipercayai senjata digunakan untuk memukul mangsa.
sahkan meninggal dunia pada jam 11 pagi hari sama akibat kecederaan parah di kepala, badan dan tangan serta kaki dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul,” katanya.
Amiruddin berkata, polis turut menahan empat penduduk terbabit terdiri daripada dua lelaki tempatan masing-masing berusia 27 dan 39 tahun, manakala dua lelaki warga asing berusia 19 dan 20 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, menurut sumber HMetro.

Bunuh isteri selepas bosan diranjang

Cairns – Seorang lelaki Australia yang dibicarakan kerana membunuh isterinya mengadu wanita terbabit sangat membosankan ketika di ranjang dan menjadi tukang masak yang sangat teruk.
Klaus Andres, 70, sebelum ini mengakui melarutkan mayat Li Ping Cao, 42, dalam tong sampah yang dipenuhi dengan asid. Andres menghadapi perbicaraan kerana dituduh membunuh wanita kelahiran China itu yang menjadi isterinya selama lima tahun dalam satu pembunuhan di kediaman mereka di pinggir Cairns, akhir Oktober 2011.
Dia mengaku bersalah menyebabkan kematian Li Ping dan cuba melupuskan mayat mangsa tetapi berkata, kematian isterinya adalah satu kemalangan. Li Ping dipercayai ditolak ke lantai oleh Andres selepas mangsa menikam tangan suaminya dengan garfu.
Selepas Li Ping mati, Andres membawa 60 liter asid dan melarutkan mayat isterinya dengan bahan itu di dalam tong sampah. Saksi, John Gunner yang juga suami kepada kawan kekasih Andres minggu ini memberitahu mahkamah tertuduh ada mengadu mengenai isterinya.
Gunner bertemu Andres pada Ogos 2011, dua bulan sebelum kematian Li Ping. Andres pula bertemu kekasihnya awal tahun itu ketika isterinya berada di China menziarahi saudara-maranya.
“Li Ping bersikap dingin kepada suaminya, tidak seperti kekasih warga Thai Andres,” katanya dalam kenyataan di mahkamah.
Gunner juga memberitahu mahkamah yang Andres menggelar Li Ping sebagai tukang masak yang teruk dan dia mahu kekasihnya berpindah ke Australia.
Ketika pembunuhan, jiran tetangga memberitahu berita tempatan bahawa mereka terdengar pasangan itu bertengkar sebelum kematian Li Ping, menurut sumber
--HMetro.

Selasa, 3 Disember 2013

Dadah RM1.48 juta dirampas

SIBU: Pasukan polis narkotik negeri ini berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 7.4 kilogram yang bernilai RM1.48 juta sekali gus menjadi nilai rampasan terbesar di negeri ini tahun ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Law Hong Soon berkata dadah itu berjaya dirampas daripada dua warga asing iaitu seorang lelaki dan wanita di Lapangan Terbang Sibu pada 27 November lalu, kira-kira jam 11.40 pagi.
“Kedua-dua suspek adalah dalam pesawat yang sama iaitu penerbangan MH2712 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Sibu.
“Terdahulu, kedua-duanya singgah di Kuala Lumpur setelah tiba dari dua penerbangan berasingan dari Chennai, India dan New Delhi, India.
“Suspek pertama adalah lelaki dan dia ditahan semasa sedang mengambil begnya di bagasi Lapangan Terbang Sibu.
“Semasa ditahan, kami berjaya menemui dadah dipercayai jenis syabu di dalam beg galasnya seberat 3.1 kilogram bernilai RM685,000. Dadah di-letakkan di dalam saku begnya yang diubah suai.
“Sementara itu, suspek wa-nita ditahan di tempat yang sama dan kami berjaya menemui dadah yang dipercayai sya-bu di dalam dua beg tangannya dan di dalam beg pakaiannya.
“Kami menemui beberapa bungkusan syabu disorok dan diselitkan di dalam gulungan reben, selipar dan di dalam saku beg tangannya.
“Kesemua syabu yang dite-mui adalah seberat 4.2 kilogram yang bernilai RM850,000.
“Kedua-dua mereka ditahan atas maklumat orang ramai dan saya percaya bahawa suspek terbabit menyeludup masuk dadah ke sini (Sibu) bukan untuk tujuan bekalan kepada individu tertentu di sini.
“Mungkin kedua-dua suspek terbabit hanya menjadikan Sibu sebagai tempat persinggahan mereka sebelum meneruskan perjalanan ke tempat lain.
“Ini berdasarkan rekod-rekod kes dadah di sini yang tidak begitu banyak,” katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik IPD Kontijen Sarawak ASP Osman Adam, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail dan Ketua Bahagian JSJ Narkotik IPD Sibu ASP Dennis Bunyam.
Ditanya adakah kedua-dua suspek terbabit mempunyai hubungan atau sindiket yang sama, Law mengatakan ia masih dalam siasatan dan enggan mengulas lanjut mengenainya.
Menurut Law, kedua-dua suspek terbang dari dua destinasi berasingan namun sama-sama singgah di KLIA dan menuju ke Sibu, tidak dapat dikesan memandangkan penerbangan mereka mempunyai tempat persinggahan atau menggunakan kapal terbang secara sambungan.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.
“Kedua-dua suspek ditahan di sini bagi membantu siasatan dan kami masih menunggu penterjemah dari Kuala Lumpur untuk membantu menjalankan siasatan kes ini,” tegasnya sambil menyatakan bahawa tangkapan kes terbabit adalah di bawah Ops Cantas Khas Narkotik.
Beliau memberitahu, kes ini merupakan kedua berlaku di Lapangan Terbang Sibu dan kes pertama berlaku pada 25 Ogos lalu di mana seorang warga asing turut ditangkap di lokasi yang sama semasa tiba dari Kuala Lumpur membawa lebih tiga kilogram dadah dipercayai jenis syabu bernilai RM685,000.
Sementara itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan polis narkotik negeri ini, khasnya Sibu kerana berjaya membanteras jenayah berkaitan dadah di negeri ini.
“Kami mahu orang ramai terus bekerjasama dengan polis  menangani masalah jenayah yang boleh mengancam keamanan negara.
“Apa-apa gejala jenayah yang diketahui, sila tampil kepada kami untuk memberi maklumat seperti mana kes dadah ini yang kami berjaya sekat hasil maklumat orang ramai.
“Polis juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai yang tampil memberi maklumat,” jelasnya.
Sehubungan itu, Law turut memberi jaminan bahawa Ops Cantas membanteras gejala gengster akan diteruskan dalam usaha mengurangkan kes-kes jenayah di negeri ini.
“Selain Ops Cantas, Ops Cantas Khas Narkotik juga diteruskan.
“Ini bagi memastikan apa juga kegiatan jenayah di negeri ini dapat dikurangkan melalui projek ini,” katanya.
--theborneopost

Isnin, 2 Disember 2013

Polis Tahan Dua Lelaki Dipercayai Terlibat Kes Bunuh & Culik Di Semporna

KOTA KINABALU: Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes penculikan wanita Taiwan dalam kejadian bunuh dan culik di Pulau Pom Pom, Semporna, bulan lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di Kampung Bangau-Bangau, Semporna pada 3 pagi Ahad.

"Kita percaya kedua-dua lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu terlibat bukan untuk kes itu sahaja tetapi mungkin melibatkan kes-kes lain," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Isnin.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu bekerja di kawasan pulau-pulau di Semporna.

Dalam kejadian pukul 1 pagi 15 November lepas, pelancong lelaki warga Taiwan berusia 57 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan pada badan manakala rakan wanitanya berusia 58 tahun diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata.

Dalam pada itu, Hamza berkata polis akan menjalankan Ops Cantas Khas yang menumpukan kawasan-kawasan selektif seperti pusat peranginan dan resort di pulau-pulau berdekatan yang dikenal pasti dapat membantu siasatan termasuk mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya pagi semalam mengucapkan syabas kepada pasukan Ops Cantas Khas Sabah yang berjaya menahan suspek. - BERNAMA

Jabatan Peguam Negara Buka Semula Kes Rogol Remaja 12 Tahun

PUTRAJAYA: Kertas siasatan untuk menyiasat dakwaan rogol seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang berkahwin dengan lelaki yang didakwa merogolnya dan bercerai setahun kemudian telah dibuka semula oleh polis susulan permintaan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, beliau membuat permintaan itu kepada polis selepas mengambil kira keprihatinan orang awam terhadap isu itu.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan sama ada kes itu akan dibicarakan hanya akan diumumkan minggu depan selepas AGC menerima penemuan polis.

"Saya telah meminta siasatan lanjut dilakukan dan saya memberi polis tempoh selama seminggu untuk memaklumkan kepada saya," kata Abdul Gani pada sidang media di sini, Isnin.
--MstarOnline

Teman lelaki Noorsyafikah diburu polis untuk bantu siasatan kematiannya


Polis sedang giat memburu seorang remaja lelaki yang dipercayai merupakan teman lelaki Nor Syafikah Nadia Rusdi.

Bernama melaporkan bahawa remaja itu diperlukan untuk membantu siasatan ke atas misteri di sebalik kematian Nor Syafikah, 14, dan adik-adiknya Nur Izzati Husna, 12, serta Puteri Nurul Akma, 3.

Menurut Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim, remaja itu kini dipercayai berada di Arau, Perlis dan beliau yakin bahawa dia akan dijumpai dalam masa terdekat.

Ahmad turut berkata polis sudah mempunyai bukti-bukti terkini dan saksi bagi membantu siasatan kes tersebut.

Ahmad juga mengesahkan tiga beradik itu tidak bunuh diri kerana terdapat unsur-unsur perbuatan jenayah berdasarkan keadaan mayat Nor Syafikah.

Beliau merayu orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak kejadian tersebut tampil membantu siasatan.

Semalam, polis mengesahkan bahawa Nor Syafikah mati kerana lemas dan bukannya dirogol dan dibunuh seperti jangkaan awal.

Ini kerana keputusan awal bedah siasat menunjukkan Nur Syafikah didapati lemas kerana mukanya tersembam dalam lumpur.

Mayat Nor Syafikah ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong di Alor Setar pada  petang Sabtu selepas keluar rumah bersama kedua adiknya pada malam Jumaat.

Mayat kedua adiknya pula ditemui sehari selepas itu di dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar iaitu kira-kira 3.5 kilometer dari mayat Nor Syafikah ditemui.

Bedah siasat ke atas mayat kedua adik Nor Syafikah telah dibuat pagi ini.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.


ASTRO Awani

Wanita mati ditikam teman lelaki

MELAKA: Seorang pekerja kafe siber ditemui mati disyaki ditikam teman lelakinya di Taman Limbongan Permai di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa Goh Meng Yee, 23, dipercayai ditikam teman lelakinya selepas berlaku pergaduhan di antara mereka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman, berkata dipercayai suspek berusia 23 tahun itu kemudian bertindak menikam diri sendiri.

"Mangsa mati dengan kesan tikaman di perut dan satu pisau rambo turut ditemui bersebelahan mangsa.
"Suspek yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan dan akan ditahan bagi membantu siasatan," katanya ketika ditemui di sini.


Menurutnya motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
--Hmetro

Ahad, 1 Disember 2013

Dua polis ditahan bantu siasatan 4 kontena hilang

Shah Alam: Dua anggota polis antara beberapa individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan empat kontena berisi barangan tembaga seberat kira-kira 100 tan dianggarkan bernilai RM 2.3 juta baru-baru ini.

Menurut sumber, kejadian hanya disedari kira-kira jam 11.30 pagi oleh seorang daripada kakitangan syarikat pemilik kontena berkenaan pada 18 November lalu.
(Gambar Sekadar Hiasan)
“Kakitangan terbabit memaklumkan pengurus keselamatannya yang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, beberapa jam selepas itu,” katanya.

Bertindak hasil laporan itu, gerakan mengesan empat kontena itu dijalankan sehingga polis menahan dua anggota polis berusia 29 dan 31 tahun pada 23 November lalu untuk membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi berkata, mengesahkan dua anggota polis terbabit antara beberapa individu yang ditahan dalam tangkapan yang dibuat sejak kejadian dilaporkan.
-Hmetro

Anak peneroka dicekup

DUNGUN - Seorang remaja belasan tahun yang baru tamat sekolah menengah berdepan detik hitam apabila terpaksa bermalam di lokap selepas ditahan dalam Ops Cantas khas di Felda Kerteh Enam kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ujian saringan air kencing juga mendapati anak peneroka itu positif methapethamine.

Selain remaja terbabit, seorang buruh ladang berusia 31 tahun turut ditahan dalam serbuan berasingan di sebuah rumah peneroka dekat Felda Kerteh Satu.

Pemeriksaan lanjut dalam poket seluarnya menemui satu botol plastik cerah berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, polis melancarkan operasi khas di kawasan tanah rancangan Felda berikutan menerima maklumat ramai anak peneroka terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Katanya, polis terpaksa memulakan operasi seawal jam 6.30  pagi untuk masuk ke kawasan sasaran bagi mengelak dihidu penagih dan hasilnya sembilan suspek  berjaya ditahan dalam enam serbuan berasingan yang berakhir kira-kira jam 11.30 pagi.

“Lelaki yang disyaki memiliki heroin itu ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 31 (A) (1)  Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala yang lainnya, positif methapethamine disiasat mengikut seksyen 15(1) akta yang sama," katany
--Sinar

Taktik kaki judi terbongkar

BANDA HILIR - Taktik kaki judi yang berselindung di sebalik bilik VIP untuk melakukan aktiviti judi haram dan pertaruhan melibatkan puluhan ribu ringgit di sebuah pusat hiburan akhirnya terbongkar.

Pusat hiburan yang selama ini menggunakan ruang tetamu kenamaan untuk menjalankan aktiviti perjudian diserbu selepas taktik itu dihidu polis di premis terletak kira-kira 100 meter dari sebuah balai polis di sini.

Serbuan dijalankan Bahagian Pencegahan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) diketuai Superintendan Amir Rasid Derani bersama 12 anggota termasuk dua pegawai dari Bukit Aman kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Difahamkan, aktiviti itu dikendalikan seorang lelaki tempatan dikenali Ah Seng, 40-an yang bekerjasama dengan sebuah kumpulan dari luar Melaka untuk menganjurkan aktiviti haram tersebut dengan menyewa sebuah bilik VIP di pusat hiburan berkenaan.

Bermodalkan wang pusingan sekurang-kurangnya RM300,000, penganjur menjadikan bilik yang luas sebagai sebuah pusat judi jenis Pik atau Tong Kau menggunakan meja snooker dan peralatan judi seperti batu mahjong, dadu dan mancis kepada kaki judi.

Amir berkata, sehubungan itu, seramai 49 individu termasuk 10 wanita berusia dari 20 hingga 60 tahun ditahan ketika leka bermain judi yang membabitkan wang pertaruhan antara RM20,000 dan RM30,000 bagi satu pusingan.

“Mereka yang ditahan adalah lima wanita tempatan dan lima wanita warga asing dari China, Thailand, Vietnam serta Indonesia dipercayai teman wanita sebahagian 39 lelaki yang datang melakukan aktiviti haram itu.

“Mereka dipercayai terlibat perjudian jenis Pik atau di negeri lain dipanggil Tong Kau yang menggunakan meja snooker selain batu mahjung dan dadu sementara batang mancis serta kotak sebagai simbolik jumlah wang pertaruhan,” katanya.

Menurutnya, selain peralatan perjudian, pihaknya turut merampas wang tunai RM68,800 dipercayai termasuk wang taruhan milik kaki judi.

“Siasatan awal mendapati penganjur melakukan aktiviti tersebut sejak kira-kira dua minggu lalu sebelum kesemua mereka ditahan dalam Ops Dadu selama dua jam tadi (semalam).

“Mereka akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1952," katanya.
--Sinar

Hantu Besi Megamok


ALOR SETAR - “Kes curi besi di taman perumahan kami kian menjadi-jadi kebelakangan ini,” demikian dakwaan seorang penduduk Taman Rakyat, dekat sini, yang tidak tahan berhadapan insiden terbabit.

Nursiah Adam, 58, berkata, bukan sahaja dilanda ketakutan, sebaliknya dia sendiri sudah tidak larat menanggung kerugian apabila besi pada pintu pagar pusat jagaan miliknya diambil individu tidak bertanggungjawab.
(Gambar Hiasan)
“Bukan setakat pintu pagar kediaman hilang, malah penutup longkang dan meter air juga dicuri.

“Bukan sahaja waktu malam, sebaliknya individu terbabit didakwa turut melakukan kegiatan mereka pada waktu siang. Malah, jiran turut menyaksikan individu terbabit mencuri besi pintu belakang pusat jagaan saya pada waktu siang, namun tidak menjerit kerana takut,” katanya.

Justeru, katanya, dia memohon supaya pihak berkenaan dapat melakukan rondaan supaya kejadian curi besi tidak berulang.

Malah, nasib serupa turut dialami Rohani Musa, 39, yang mendakwa pintu asrama di bawah seliaan dirinya turut dikebas.

Manakala, Rohani Osman, 54, berkata, kejadian curi besi membabitkan besi penutup longkang di hadapan kedai baru sahaja berlaku lebih kurang sebulan lalu di bangunan premis perniagaan berhampiran taman perumahan berkenaan.

“Kami bimbang keselamatan orang awam. Bayangkan, sekiranya mereka tidak perasaan bahawa penutup longkang dicuri, pastinya sudah mengalami kecederaan,” katanya.
--Sinar

PPM rampas rokok kretek bernilai kira-kira RM550,000

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas rokok kretek bernilai kira-kira RM550,000 dalam Op Cantas Khas Laut, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.45 pagi itu, lapan anggota PPM yang bertindak atas maklumat awam telah membuat serbuan terhadap sebuah kawasan di kebun kelapa sawit di Tanjung Kapor.
Ketika serbuan, terdapat empat lelaki didapati sedang memunggahkan beberapa bungkusan berwarna hitam daripada dua buah kenderaan di kawasan berkenaan.
Keempat-empat lelaki terbabit terkejut apabila melihat kehadiran anggota pasukan keselamatan membuat serbuan lalu bertindak melarikan diri ke kawasan kebun kelapa sawit serta meninggalkan kenderaan mereka bersama rokok itu.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata hasil pemeriksaan ke atas beberapa bungkusan hitam terbabit membawa kepada penemuan rokok kretek pelbagai jenama yang dipercayai daripada negara jiran.
Katanya pemeriksaan lanjut terhadap dua buah kereta jenis Proton Waja terbabit turut menemui beberapa lagi bungkusan hitam berisi rokok kretek.
Beliau berkata jumlah keseluruhan rokok yang dirampas adalah sebanyak 31,530 bungkus dan semua rampasan termasuk kenderaan yang digunakan membawa rokok seludup berkenaan dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna.
“Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM609,060.12 termasuk kenderaan yang disita dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 atas kesalahan menyeludup,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Menurutnya semua rokok yang berjaya dirampas dalam serbuan itu akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, Mohamad menyeru kepada masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan supaya menghubungi pihaknya untuk tindakan segera.
--Borneopost


Penjenayah maut ditembak polis

KUALA LUMPUR - Seorang penjenayah mati ditembak dan seorang lagi cedera parah manakala seorang lagi yang membawa hasil samun berjaya meloloskan diri sebaik menyamun sebuah keluarga di Persiaran Syed Putra di ibu negara pagi tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku jam 4.30 pagi sebaik kehadiran tiga suspek  memasuki rumah teres tiga tingkat terbabit disedari oleh seorang anak lelaki mangsa yang menyembunyikan diri dalam bilik di tingkat satu kediaman itu.
Anak mangsa kemudiannya bertindak menghubungi Balai Gerakan Polis Brickfields.
Pasukan polis pemantau yang kebetulan melalui tempat kejadian terus menyelinap masuk tanpa disedari kumpulan penjenayah.
Menurut timbalan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa, seorang anggotanya t berjaya menyelinap masuk untuk membuat pemerhatian.
“Semasa sedang membuat pemerhatian bersembunyi itu dia telah melihat salah seorang suspek telah membawa keluar seorang daripada mangsa dengan mengacukan senjata di bahagian kepala terhadap mangsa itu, memaksa mangsa itu untuk keluar membuka pintu pagar automatik di rumah itu,” katanya.
“Sebaik mangsa membuka pintu pagar, mangsa telah dibawa suspek ini masuk balik ke dalam rumah. Mangsa kemudiannya dilepaskan apabila pintu pagar itu dibuka,” kata Khairy lagi. Susulan itu satu insiden tembak-menembak berlaku.
Dua dari penjenayah rebah di tepi sebuah kereta BMW dipercayai kenderaan milik suspek.
Manakala seorang lagi berjaya meloloskan dirj dengan hasil samun.
Polis masih menyiasat kenderaan milik suspek samada ianya pernah dilaporkan curi.
Semakan mendapati suspek yang mati mempunyai tujuh rekod jenayah lampau manakala yang cedera masih belum dikenalpasti lagi identitinya, menurut sumber Awani.
Gerakan memburu suspek kini sedang giat dijalankan.

Budak 6 tahun dirogol, dibunuh


PORT OF SPAIN - SEPANYOL. Mayat seorang kanak-kanak berumur enam tahun dipercayai dirogol dan dibunuh ditemui di dalam tong dalam keadaan menyayat hati.

Menurut polis Trinidad, mangsa, Keyana Cumberbatch  dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke rumah neneknya yang terletak hanya beberapa meter dari kediaman keluarganya di Maloney, Isnin lalu.

Menurut DailyMail, hasil aduan penduduk yang terhidu bau busuk di kawasan kejiranan tersebut, pihak berkuasa akhirnya menemui mayat mangsa yang disumbat di dalam beg plastik berhampiran rumah keluarganya.

Pakar patologi, Dr Alexandrov berkata, hasil bedah siasat menunjukkan kematian mangsa berpunca daripada kecederaan di kepalanya.
--sinarharian

Misteri kehilangan 3 beradik terjawab

ALOR SETAR - Misteri kehilangan tiga beradik sejak Jumaat lalu, terjawab apabila kesemua mereka ditemui meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati di dua lokasi berasingan.
Noor Syafikah Nadia, 14, ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan separuh bogel kira-kira jam 3.45 petang berhampiran kawasan bendang di Kampung Alor Senibong, Langgar, semalam.
Manakala dua adiknya Nur Izzati Husna, 12, dan Putri Nurul Akmal, 3, ditemui kira-kira jam 3 petang, hari ini dalam keadaan terapung dalam tali air Terusan Mada Kampung Padang Petani, dekat sini.
Dalam kejadian berkenaan, Noor Syafikah, anak sulung kepada pasangan Rusdi Rani, 38, dan Siti Aishah Ariffin, 40, keluar rumah bersama dua adiknya di Jalan Datuk Kumbar, di sini, kira-kira jam 7.30 malam, Jumaat lalu.
Tiga beradik itu ke rumah seorang kawannya yang terletak di Kampung Gelam kira-kira 15 minit dari rumah mereka.
Bagaimanapun mereka tidak pulang ke rumah walaupun sudah lewat malam membuatkan pasangan berkenaan membuat laporan polis berhubung kehilangan anak mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 2 pagi, Sabtu.
Pencarian mereka membawa kepada penemuan motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mangsa berada dalam keadaan baik di pondok menunggu bas dalam keadaan berkunci.
Penemuan mayat Noor Syafikah terus menimbulkan keresahan keluarga kerana dua adiknya lagi masih gagal dikesan.
Bagaimanapun selepas kira-kira sejam selepas jenazah Noor Syafikah dikebumikan, hari ini, keluarga terbabit dikejutkan dengan penemuan mayat dua lagi anak mereka yang merungkai kehilangan tiga beradik itu.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim menyifatkan kejadian berkenaan bukanlah tragedi biasa.
Menurut beliau, selepas penemuan mangsa pertama, bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan lemas dan pihaknya tidak menemui kesan-kesan lain pada badan mangsa.
“Kita juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan seksual termasuk rogol melainkan kesan calar pada bahagian belakang mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Manakala dua mayat yang baru ditemui akan dibedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mereka,” katanya ketika ditemui media di lokasi kedua penemuan mayat di Terusan Mada Kampung Padang Petani, hari ini.
Tambah beliau, polis turut menemui sehelai seluar berhampiran mangsa kedua tetapi masih belum dapat dikenal pasti sama ada seluar itu kepunyaan mangsa pertama atau sebaliknya.
“Kita akan minta mak dan ayah mangsa untuk buat pengecaman seluar yang ditemui dan akan meminta pihak hospital membuat bedah siasat secepat mungkin, menurut sumber Sinar Harian.
“Saya ingat ini bukan kejadian biasa disebabkan ketiga-tiga mangsa ditemui di lokasi berasingan,” katanya.
Ahmad berkata, pihaknya akan memberi keutamaan untuk menyiasat kes terbabit.