Sabtu, 21 Disember 2013

Anggota Majlis MPSJ Didakwa Salah Guna Kuasa


SHAH ALAM: Seorang anggota majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Zon 19 pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen pada 2010.

Hamdan Ismail, 50, didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan kelulusan berhubung cadangan Syarikat Alam Muhibbah Enterprise, yang dikendalikan anaknya, Yuwafee Heidi, bagi melaksanakan kerja membina bonggol premix di Jalan LEP 6 dan Jalan PP1 serta membaik pulih jalan di Taman Equine, Seri Kembangan berharga RM19,790.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat MPSJ di Subang Jaya pada Februari 2010 dan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan dokumen Minit Mesyuarat Jawatankuasa Penduduk MPSJ Zon 19 bertarikh 3 Disember 2009 yang palsu, sebagai tulendi Bahagian Khidmat Komuniti Kompleks 3C, MPSJ Subang Jaya pada 3 Disember 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim M Bakri Abd Majid membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 denganseorang penjamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Lokman Kasim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Polis Cari Lagi 12 Kotak Cip Mikro Yang Hilang

GEORGE TOWN: Sebuah lori dengan muatan 22 kotak cip mikro dilapor hilang di luar sebuah kilang elektronik di kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) di Bayan Lepas, Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Fah Hin berkata kehilangan lori itu disedari pemandunya pada pukul 9.00 malam sejurus dia keluar dari kilang berkenaan untuk mengambil dokumen.

"Lori itu baru tiba dari Ipoh dan diparkir sebentar di luar kilang kerana pemandunya mahu mengambil dokumen. Tetapi selepas dia keluar, kenderaan itu telah hilang," katanya di sini, Sabtu.

Polis kemudiannya berjaya mengesan lori yang dilengkapi sistem penentu kedudukan global (GPS) itu pada pukul 11.30 malam tidak jauh dari lokasi kejadian serta menahan seorang lelaki berusia 40-an.

Namun Lai berkata hanya 10 kotak cip mikro yang ditemui manakala 12 kotak lagi yang kandungannya dianggar bernilai RM800,000 telah lesap.

Katanya polis sedang mengesan suspek utama rompakan itu dan sebahagian besar cip yang dipercayai telah dibawa keluar dengan menggunakan kenderaan lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Dua lelaki samun kedai diburu Polis



KEMAMAN – Dua lelaki bersenjatakan sebilah parang yang menyamun sebuah kedai RM2 di Jalan Kuantan–Kuala Terengganu di Kerteh, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam semalam, kini sedang diburu polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, wajah kedua-dua lelaki itu berjaya dirakam CCTV di dalam kedai terbabit.

Katanya, seorang daripada lelaki terbabit memakai topi keledar.

“Semasa kejadian, terdapat dua jurujual perempuan dalam kedai itu sebelum suspek masuk lalu mengugut mereka dan melarikan tunai kira-kira RM1,000.

“Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal," katanya.

Katanya, pihaknya kini giat mengesan dua lelaki terbabit dan orang awam yang mempunyai maklumat diharap  tampil untuk membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Che Suza berkata, suspek yang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Jakar tiga hari lalu, berjaya dicekup kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

“Suspek yang berusia 28 tahun berjaya ditangkap berhampiran kedai serbaneka 24 jam berkenaan. Polis juga berjaya merampas semula barang dilarikan dari kedai tersebut iaitu dua kotak rokok dan satu cerut.

“Turut dirampas, sebilah pisau jenama Berent dan Proton Wira Aeroback berwarna hijau kepunyaan suspek,” katanya.

Menurutnya, hasil saringan air kencing, suspek yang beralamat di Kampung Cina, Kuala Kemaman didapati positif dadah jenis Eramin 5.
--Sinar