SITIAWAN - Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Kampung Acheh berjaya menumpaskan kegiatan curi kabel di sekitar Manjung dengan tertangkapnya tiga suspek dalam operasi Ops Cantas Khas di pesisir pantai Perak, di sini.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Kampung Acheh, Deputi Superintendan Shaari Ariffin berkata, tiga lelaki berkenaan berusia antara 35 hingga 50 tahun ditangkap ketika memunggah kabel elektrik dipercayai dicuri ke dalam sebuah van di kawasan Lumut Kiri.
"Siasatan terhadap suspek juga membongkar satu lagi jenayah mencuri sampan dan enjin sangkut dengan penemuan barang curi itu yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya pada sidang media, semalam.
Sementara itu menurutnya, sehingga kini sebanyak RM36,000 nilai rampasan dicatatkan sepanjang Ops Cantas Khas di kawasan persisiran pantai Perak bermula 16 Oktober lalu.
“Rampasan ini melibatkan kes yang menyalahi Akta Perikanan 1985 iaitu nelayan memukat di kawasan larangan dan tangkapan awak-awak asing yang tiada permit sah.
“Dalam Ops Cantas Khas ini, lima awak-awak warga Myanmar yang dikesan tiada permit sah dan melanggar peraturan dengan bekerja di bot nelayan kelas A dan B berjaya ditahan” katanya.
Shaari berkata, Ops Cantas itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan pesisir pantai Perak sentiasa berkeadaan baik dan selamat.
“Kita juga mengalu-alukan maklumat orang awam berkenaan apa-apa sahaja kejadian jenayah di kawasan mereka, terutama pesisir pantai supaya tindakan lanjut dapat diambil," katanya
--Sharian
0 ulasan:
Catat Ulasan