Ahad, 1 Disember 2013

Dua polis ditahan bantu siasatan 4 kontena hilang

Shah Alam: Dua anggota polis antara beberapa individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan empat kontena berisi barangan tembaga seberat kira-kira 100 tan dianggarkan bernilai RM 2.3 juta baru-baru ini.

Menurut sumber, kejadian hanya disedari kira-kira jam 11.30 pagi oleh seorang daripada kakitangan syarikat pemilik kontena berkenaan pada 18 November lalu.
(Gambar Sekadar Hiasan)
“Kakitangan terbabit memaklumkan pengurus keselamatannya yang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, beberapa jam selepas itu,” katanya.

Bertindak hasil laporan itu, gerakan mengesan empat kontena itu dijalankan sehingga polis menahan dua anggota polis berusia 29 dan 31 tahun pada 23 November lalu untuk membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi berkata, mengesahkan dua anggota polis terbabit antara beberapa individu yang ditahan dalam tangkapan yang dibuat sejak kejadian dilaporkan.
-Hmetro

Anak peneroka dicekup

DUNGUN - Seorang remaja belasan tahun yang baru tamat sekolah menengah berdepan detik hitam apabila terpaksa bermalam di lokap selepas ditahan dalam Ops Cantas khas di Felda Kerteh Enam kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ujian saringan air kencing juga mendapati anak peneroka itu positif methapethamine.

Selain remaja terbabit, seorang buruh ladang berusia 31 tahun turut ditahan dalam serbuan berasingan di sebuah rumah peneroka dekat Felda Kerteh Satu.

Pemeriksaan lanjut dalam poket seluarnya menemui satu botol plastik cerah berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, polis melancarkan operasi khas di kawasan tanah rancangan Felda berikutan menerima maklumat ramai anak peneroka terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Katanya, polis terpaksa memulakan operasi seawal jam 6.30  pagi untuk masuk ke kawasan sasaran bagi mengelak dihidu penagih dan hasilnya sembilan suspek  berjaya ditahan dalam enam serbuan berasingan yang berakhir kira-kira jam 11.30 pagi.

“Lelaki yang disyaki memiliki heroin itu ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 31 (A) (1)  Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala yang lainnya, positif methapethamine disiasat mengikut seksyen 15(1) akta yang sama," katany
--Sinar

Taktik kaki judi terbongkar

BANDA HILIR - Taktik kaki judi yang berselindung di sebalik bilik VIP untuk melakukan aktiviti judi haram dan pertaruhan melibatkan puluhan ribu ringgit di sebuah pusat hiburan akhirnya terbongkar.

Pusat hiburan yang selama ini menggunakan ruang tetamu kenamaan untuk menjalankan aktiviti perjudian diserbu selepas taktik itu dihidu polis di premis terletak kira-kira 100 meter dari sebuah balai polis di sini.

Serbuan dijalankan Bahagian Pencegahan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) diketuai Superintendan Amir Rasid Derani bersama 12 anggota termasuk dua pegawai dari Bukit Aman kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Difahamkan, aktiviti itu dikendalikan seorang lelaki tempatan dikenali Ah Seng, 40-an yang bekerjasama dengan sebuah kumpulan dari luar Melaka untuk menganjurkan aktiviti haram tersebut dengan menyewa sebuah bilik VIP di pusat hiburan berkenaan.

Bermodalkan wang pusingan sekurang-kurangnya RM300,000, penganjur menjadikan bilik yang luas sebagai sebuah pusat judi jenis Pik atau Tong Kau menggunakan meja snooker dan peralatan judi seperti batu mahjong, dadu dan mancis kepada kaki judi.

Amir berkata, sehubungan itu, seramai 49 individu termasuk 10 wanita berusia dari 20 hingga 60 tahun ditahan ketika leka bermain judi yang membabitkan wang pertaruhan antara RM20,000 dan RM30,000 bagi satu pusingan.

“Mereka yang ditahan adalah lima wanita tempatan dan lima wanita warga asing dari China, Thailand, Vietnam serta Indonesia dipercayai teman wanita sebahagian 39 lelaki yang datang melakukan aktiviti haram itu.

“Mereka dipercayai terlibat perjudian jenis Pik atau di negeri lain dipanggil Tong Kau yang menggunakan meja snooker selain batu mahjung dan dadu sementara batang mancis serta kotak sebagai simbolik jumlah wang pertaruhan,” katanya.

Menurutnya, selain peralatan perjudian, pihaknya turut merampas wang tunai RM68,800 dipercayai termasuk wang taruhan milik kaki judi.

“Siasatan awal mendapati penganjur melakukan aktiviti tersebut sejak kira-kira dua minggu lalu sebelum kesemua mereka ditahan dalam Ops Dadu selama dua jam tadi (semalam).

“Mereka akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1952," katanya.
--Sinar

Hantu Besi Megamok


ALOR SETAR - “Kes curi besi di taman perumahan kami kian menjadi-jadi kebelakangan ini,” demikian dakwaan seorang penduduk Taman Rakyat, dekat sini, yang tidak tahan berhadapan insiden terbabit.

Nursiah Adam, 58, berkata, bukan sahaja dilanda ketakutan, sebaliknya dia sendiri sudah tidak larat menanggung kerugian apabila besi pada pintu pagar pusat jagaan miliknya diambil individu tidak bertanggungjawab.
(Gambar Hiasan)
“Bukan setakat pintu pagar kediaman hilang, malah penutup longkang dan meter air juga dicuri.

“Bukan sahaja waktu malam, sebaliknya individu terbabit didakwa turut melakukan kegiatan mereka pada waktu siang. Malah, jiran turut menyaksikan individu terbabit mencuri besi pintu belakang pusat jagaan saya pada waktu siang, namun tidak menjerit kerana takut,” katanya.

Justeru, katanya, dia memohon supaya pihak berkenaan dapat melakukan rondaan supaya kejadian curi besi tidak berulang.

Malah, nasib serupa turut dialami Rohani Musa, 39, yang mendakwa pintu asrama di bawah seliaan dirinya turut dikebas.

Manakala, Rohani Osman, 54, berkata, kejadian curi besi membabitkan besi penutup longkang di hadapan kedai baru sahaja berlaku lebih kurang sebulan lalu di bangunan premis perniagaan berhampiran taman perumahan berkenaan.

“Kami bimbang keselamatan orang awam. Bayangkan, sekiranya mereka tidak perasaan bahawa penutup longkang dicuri, pastinya sudah mengalami kecederaan,” katanya.
--Sinar

PPM rampas rokok kretek bernilai kira-kira RM550,000

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas rokok kretek bernilai kira-kira RM550,000 dalam Op Cantas Khas Laut, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.45 pagi itu, lapan anggota PPM yang bertindak atas maklumat awam telah membuat serbuan terhadap sebuah kawasan di kebun kelapa sawit di Tanjung Kapor.
Ketika serbuan, terdapat empat lelaki didapati sedang memunggahkan beberapa bungkusan berwarna hitam daripada dua buah kenderaan di kawasan berkenaan.
Keempat-empat lelaki terbabit terkejut apabila melihat kehadiran anggota pasukan keselamatan membuat serbuan lalu bertindak melarikan diri ke kawasan kebun kelapa sawit serta meninggalkan kenderaan mereka bersama rokok itu.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata hasil pemeriksaan ke atas beberapa bungkusan hitam terbabit membawa kepada penemuan rokok kretek pelbagai jenama yang dipercayai daripada negara jiran.
Katanya pemeriksaan lanjut terhadap dua buah kereta jenis Proton Waja terbabit turut menemui beberapa lagi bungkusan hitam berisi rokok kretek.
Beliau berkata jumlah keseluruhan rokok yang dirampas adalah sebanyak 31,530 bungkus dan semua rampasan termasuk kenderaan yang digunakan membawa rokok seludup berkenaan dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna.
“Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM609,060.12 termasuk kenderaan yang disita dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 atas kesalahan menyeludup,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Menurutnya semua rokok yang berjaya dirampas dalam serbuan itu akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, Mohamad menyeru kepada masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan supaya menghubungi pihaknya untuk tindakan segera.
--Borneopost


Penjenayah maut ditembak polis

KUALA LUMPUR - Seorang penjenayah mati ditembak dan seorang lagi cedera parah manakala seorang lagi yang membawa hasil samun berjaya meloloskan diri sebaik menyamun sebuah keluarga di Persiaran Syed Putra di ibu negara pagi tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku jam 4.30 pagi sebaik kehadiran tiga suspek  memasuki rumah teres tiga tingkat terbabit disedari oleh seorang anak lelaki mangsa yang menyembunyikan diri dalam bilik di tingkat satu kediaman itu.
Anak mangsa kemudiannya bertindak menghubungi Balai Gerakan Polis Brickfields.
Pasukan polis pemantau yang kebetulan melalui tempat kejadian terus menyelinap masuk tanpa disedari kumpulan penjenayah.
Menurut timbalan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa, seorang anggotanya t berjaya menyelinap masuk untuk membuat pemerhatian.
“Semasa sedang membuat pemerhatian bersembunyi itu dia telah melihat salah seorang suspek telah membawa keluar seorang daripada mangsa dengan mengacukan senjata di bahagian kepala terhadap mangsa itu, memaksa mangsa itu untuk keluar membuka pintu pagar automatik di rumah itu,” katanya.
“Sebaik mangsa membuka pintu pagar, mangsa telah dibawa suspek ini masuk balik ke dalam rumah. Mangsa kemudiannya dilepaskan apabila pintu pagar itu dibuka,” kata Khairy lagi. Susulan itu satu insiden tembak-menembak berlaku.
Dua dari penjenayah rebah di tepi sebuah kereta BMW dipercayai kenderaan milik suspek.
Manakala seorang lagi berjaya meloloskan dirj dengan hasil samun.
Polis masih menyiasat kenderaan milik suspek samada ianya pernah dilaporkan curi.
Semakan mendapati suspek yang mati mempunyai tujuh rekod jenayah lampau manakala yang cedera masih belum dikenalpasti lagi identitinya, menurut sumber Awani.
Gerakan memburu suspek kini sedang giat dijalankan.

Budak 6 tahun dirogol, dibunuh


PORT OF SPAIN - SEPANYOL. Mayat seorang kanak-kanak berumur enam tahun dipercayai dirogol dan dibunuh ditemui di dalam tong dalam keadaan menyayat hati.

Menurut polis Trinidad, mangsa, Keyana Cumberbatch  dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke rumah neneknya yang terletak hanya beberapa meter dari kediaman keluarganya di Maloney, Isnin lalu.

Menurut DailyMail, hasil aduan penduduk yang terhidu bau busuk di kawasan kejiranan tersebut, pihak berkuasa akhirnya menemui mayat mangsa yang disumbat di dalam beg plastik berhampiran rumah keluarganya.

Pakar patologi, Dr Alexandrov berkata, hasil bedah siasat menunjukkan kematian mangsa berpunca daripada kecederaan di kepalanya.
--sinarharian

Misteri kehilangan 3 beradik terjawab

ALOR SETAR - Misteri kehilangan tiga beradik sejak Jumaat lalu, terjawab apabila kesemua mereka ditemui meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati di dua lokasi berasingan.
Noor Syafikah Nadia, 14, ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan separuh bogel kira-kira jam 3.45 petang berhampiran kawasan bendang di Kampung Alor Senibong, Langgar, semalam.
Manakala dua adiknya Nur Izzati Husna, 12, dan Putri Nurul Akmal, 3, ditemui kira-kira jam 3 petang, hari ini dalam keadaan terapung dalam tali air Terusan Mada Kampung Padang Petani, dekat sini.
Dalam kejadian berkenaan, Noor Syafikah, anak sulung kepada pasangan Rusdi Rani, 38, dan Siti Aishah Ariffin, 40, keluar rumah bersama dua adiknya di Jalan Datuk Kumbar, di sini, kira-kira jam 7.30 malam, Jumaat lalu.
Tiga beradik itu ke rumah seorang kawannya yang terletak di Kampung Gelam kira-kira 15 minit dari rumah mereka.
Bagaimanapun mereka tidak pulang ke rumah walaupun sudah lewat malam membuatkan pasangan berkenaan membuat laporan polis berhubung kehilangan anak mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 2 pagi, Sabtu.
Pencarian mereka membawa kepada penemuan motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mangsa berada dalam keadaan baik di pondok menunggu bas dalam keadaan berkunci.
Penemuan mayat Noor Syafikah terus menimbulkan keresahan keluarga kerana dua adiknya lagi masih gagal dikesan.
Bagaimanapun selepas kira-kira sejam selepas jenazah Noor Syafikah dikebumikan, hari ini, keluarga terbabit dikejutkan dengan penemuan mayat dua lagi anak mereka yang merungkai kehilangan tiga beradik itu.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim menyifatkan kejadian berkenaan bukanlah tragedi biasa.
Menurut beliau, selepas penemuan mangsa pertama, bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan lemas dan pihaknya tidak menemui kesan-kesan lain pada badan mangsa.
“Kita juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan seksual termasuk rogol melainkan kesan calar pada bahagian belakang mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Manakala dua mayat yang baru ditemui akan dibedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mereka,” katanya ketika ditemui media di lokasi kedua penemuan mayat di Terusan Mada Kampung Padang Petani, hari ini.
Tambah beliau, polis turut menemui sehelai seluar berhampiran mangsa kedua tetapi masih belum dapat dikenal pasti sama ada seluar itu kepunyaan mangsa pertama atau sebaliknya.
“Kita akan minta mak dan ayah mangsa untuk buat pengecaman seluar yang ditemui dan akan meminta pihak hospital membuat bedah siasat secepat mungkin, menurut sumber Sinar Harian.
“Saya ingat ini bukan kejadian biasa disebabkan ketiga-tiga mangsa ditemui di lokasi berasingan,” katanya.
Ahmad berkata, pihaknya akan memberi keutamaan untuk menyiasat kes terbabit.