SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas rokok kretek bernilai kira-kira RM550,000 dalam Op Cantas Khas Laut, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.45 pagi itu, lapan anggota PPM yang bertindak atas maklumat awam telah membuat serbuan terhadap sebuah kawasan di kebun kelapa sawit di Tanjung Kapor.
Ketika serbuan, terdapat empat lelaki didapati sedang memunggahkan beberapa bungkusan berwarna hitam daripada dua buah kenderaan di kawasan berkenaan.
Keempat-empat lelaki terbabit terkejut apabila melihat kehadiran anggota pasukan keselamatan membuat serbuan lalu bertindak melarikan diri ke kawasan kebun kelapa sawit serta meninggalkan kenderaan mereka bersama rokok itu.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata hasil pemeriksaan ke atas beberapa bungkusan hitam terbabit membawa kepada penemuan rokok kretek pelbagai jenama yang dipercayai daripada negara jiran.
Katanya pemeriksaan lanjut terhadap dua buah kereta jenis Proton Waja terbabit turut menemui beberapa lagi bungkusan hitam berisi rokok kretek.
Beliau berkata jumlah keseluruhan rokok yang dirampas adalah sebanyak 31,530 bungkus dan semua rampasan termasuk kenderaan yang digunakan membawa rokok seludup berkenaan dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna.
“Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM609,060.12 termasuk kenderaan yang disita dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 atas kesalahan menyeludup,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Menurutnya semua rokok yang berjaya dirampas dalam serbuan itu akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, Mohamad menyeru kepada masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan supaya menghubungi pihaknya untuk tindakan segera.
--Borneopost
0 ulasan:
Catat Ulasan