Isnin, 2 Disember 2013

Polis Tahan Dua Lelaki Dipercayai Terlibat Kes Bunuh & Culik Di Semporna

KOTA KINABALU: Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes penculikan wanita Taiwan dalam kejadian bunuh dan culik di Pulau Pom Pom, Semporna, bulan lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di Kampung Bangau-Bangau, Semporna pada 3 pagi Ahad.

"Kita percaya kedua-dua lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu terlibat bukan untuk kes itu sahaja tetapi mungkin melibatkan kes-kes lain," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Isnin.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu bekerja di kawasan pulau-pulau di Semporna.

Dalam kejadian pukul 1 pagi 15 November lepas, pelancong lelaki warga Taiwan berusia 57 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan pada badan manakala rakan wanitanya berusia 58 tahun diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata.

Dalam pada itu, Hamza berkata polis akan menjalankan Ops Cantas Khas yang menumpukan kawasan-kawasan selektif seperti pusat peranginan dan resort di pulau-pulau berdekatan yang dikenal pasti dapat membantu siasatan termasuk mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya pagi semalam mengucapkan syabas kepada pasukan Ops Cantas Khas Sabah yang berjaya menahan suspek. - BERNAMA

Jabatan Peguam Negara Buka Semula Kes Rogol Remaja 12 Tahun

PUTRAJAYA: Kertas siasatan untuk menyiasat dakwaan rogol seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang berkahwin dengan lelaki yang didakwa merogolnya dan bercerai setahun kemudian telah dibuka semula oleh polis susulan permintaan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, beliau membuat permintaan itu kepada polis selepas mengambil kira keprihatinan orang awam terhadap isu itu.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan sama ada kes itu akan dibicarakan hanya akan diumumkan minggu depan selepas AGC menerima penemuan polis.

"Saya telah meminta siasatan lanjut dilakukan dan saya memberi polis tempoh selama seminggu untuk memaklumkan kepada saya," kata Abdul Gani pada sidang media di sini, Isnin.
--MstarOnline

Teman lelaki Noorsyafikah diburu polis untuk bantu siasatan kematiannya


Polis sedang giat memburu seorang remaja lelaki yang dipercayai merupakan teman lelaki Nor Syafikah Nadia Rusdi.

Bernama melaporkan bahawa remaja itu diperlukan untuk membantu siasatan ke atas misteri di sebalik kematian Nor Syafikah, 14, dan adik-adiknya Nur Izzati Husna, 12, serta Puteri Nurul Akma, 3.

Menurut Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim, remaja itu kini dipercayai berada di Arau, Perlis dan beliau yakin bahawa dia akan dijumpai dalam masa terdekat.

Ahmad turut berkata polis sudah mempunyai bukti-bukti terkini dan saksi bagi membantu siasatan kes tersebut.

Ahmad juga mengesahkan tiga beradik itu tidak bunuh diri kerana terdapat unsur-unsur perbuatan jenayah berdasarkan keadaan mayat Nor Syafikah.

Beliau merayu orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak kejadian tersebut tampil membantu siasatan.

Semalam, polis mengesahkan bahawa Nor Syafikah mati kerana lemas dan bukannya dirogol dan dibunuh seperti jangkaan awal.

Ini kerana keputusan awal bedah siasat menunjukkan Nur Syafikah didapati lemas kerana mukanya tersembam dalam lumpur.

Mayat Nor Syafikah ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong di Alor Setar pada  petang Sabtu selepas keluar rumah bersama kedua adiknya pada malam Jumaat.

Mayat kedua adiknya pula ditemui sehari selepas itu di dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar iaitu kira-kira 3.5 kilometer dari mayat Nor Syafikah ditemui.

Bedah siasat ke atas mayat kedua adik Nor Syafikah telah dibuat pagi ini.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.


ASTRO Awani

Wanita mati ditikam teman lelaki

MELAKA: Seorang pekerja kafe siber ditemui mati disyaki ditikam teman lelakinya di Taman Limbongan Permai di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa Goh Meng Yee, 23, dipercayai ditikam teman lelakinya selepas berlaku pergaduhan di antara mereka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman, berkata dipercayai suspek berusia 23 tahun itu kemudian bertindak menikam diri sendiri.

"Mangsa mati dengan kesan tikaman di perut dan satu pisau rambo turut ditemui bersebelahan mangsa.
"Suspek yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan dan akan ditahan bagi membantu siasatan," katanya ketika ditemui di sini.


Menurutnya motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
--Hmetro