BANDA HILIR - Taktik kaki judi yang berselindung di sebalik bilik VIP untuk melakukan aktiviti judi haram dan pertaruhan melibatkan puluhan ribu ringgit di sebuah pusat hiburan akhirnya terbongkar.
Pusat hiburan yang selama ini menggunakan ruang tetamu kenamaan untuk menjalankan aktiviti perjudian diserbu selepas taktik itu dihidu polis di premis terletak kira-kira 100 meter dari sebuah balai polis di sini.
Serbuan dijalankan Bahagian Pencegahan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) diketuai Superintendan Amir Rasid Derani bersama 12 anggota termasuk dua pegawai dari Bukit Aman kira-kira jam 2 pagi, semalam.
Difahamkan, aktiviti itu dikendalikan seorang lelaki tempatan dikenali Ah Seng, 40-an yang bekerjasama dengan sebuah kumpulan dari luar Melaka untuk menganjurkan aktiviti haram tersebut dengan menyewa sebuah bilik VIP di pusat hiburan berkenaan.
Bermodalkan wang pusingan sekurang-kurangnya RM300,000, penganjur menjadikan bilik yang luas sebagai sebuah pusat judi jenis Pik atau Tong Kau menggunakan meja snooker dan peralatan judi seperti batu mahjong, dadu dan mancis kepada kaki judi.
Amir berkata, sehubungan itu, seramai 49 individu termasuk 10 wanita berusia dari 20 hingga 60 tahun ditahan ketika leka bermain judi yang membabitkan wang pertaruhan antara RM20,000 dan RM30,000 bagi satu pusingan.
“Mereka yang ditahan adalah lima wanita tempatan dan lima wanita warga asing dari China, Thailand, Vietnam serta Indonesia dipercayai teman wanita sebahagian 39 lelaki yang datang melakukan aktiviti haram itu.
“Mereka dipercayai terlibat perjudian jenis Pik atau di negeri lain dipanggil Tong Kau yang menggunakan meja snooker selain batu mahjung dan dadu sementara batang mancis serta kotak sebagai simbolik jumlah wang pertaruhan,” katanya.
Menurutnya, selain peralatan perjudian, pihaknya turut merampas wang tunai RM68,800 dipercayai termasuk wang taruhan milik kaki judi.
“Siasatan awal mendapati penganjur melakukan aktiviti tersebut sejak kira-kira dua minggu lalu sebelum kesemua mereka ditahan dalam Ops Dadu selama dua jam tadi (semalam).
“Mereka akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1952," katanya.
--Sinar
0 ulasan:
Catat Ulasan